Soalan Lazim
Memberi penjelasan agar anda lebih yakin dalam setiap langkah perundangan dengan panduan yang jelas dan telus.
Soalan Umum
Memberi penjelasan agar anda lebih yakin dalam setiap langkah perundangan dengan panduan yang jelas, telus, berintegriti dan mudah difahami oleh semua.
Apakah dokumen asas yang diperlukan untuk memulakan tuntutan di mahkamah?
Antara dokumen yang diperlukan iaitu kad pengenalan, sijil nikah/cerai/rujuk, sijil kelahiran anak, dokumen-dokumen yang berkaitan dengan fakta kes, seperti laporan doktor, laporan polis dan sebagainya (jika berkaitan).
Apakah hak yang lazim dituntut oleh seseorang wanita apabila perceraian berlaku?
Terdapat hak yang biasanya dituntut oleh seorang wanita selepas perceraian:
1) mutaah;
2) hadhanah;
3) nafkah anak;
4) nafkah iddah;
5) harta sepencarian.
Apakah bidang kuasa kes Mal Mahkamah Rendah Syariah Selangor?
Bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah Selangor merangkumi jumlah tuntutan tidak melebihi RM300,000.00.
Apakah bidang kuasa kes Mal Mahkamah Tinggi Syariah Selangor?
Bidang kuasa kes Mal Mahkamah Tinggi Syariah Selangor meliputi nilaian tuntutan melebihi RM300,000.00.
Saya telah mendaftarkan tuntutan / permohonan, bilakah kes saya akan disebut di Mahkamah?
Setelah kes tersebut didaftar, anda akan diberikan tarikh sebutan, bicara atau Majlis Sulh pada hari yang sama. Kebiasaannya Mahkamah akan menetapkan tarikh sebutan dalam tempoh 21 hari selepas pendaftaran. Namun, tertakluk kepada jumlah kes yang ditetapkan di hadapan Hakim.
Apakah jenis kes yang firma ini kendalikan?
Firma kami mengendalikan kes berkaitan undang-undang keluarga Islam iaitu hal berkaitan perkahwinan, perceraian, hak jagaan anak, nafkah, harta sepencarian, pewarisan harta dan jenayah syariah.
Adakah firma ini menyediakan khidmat nasihat sahaja atau boleh mewakili saya di Mahkamah Syariah?
Kami menyediakan kedua-dua perkhidmatan, khidmat nasihat dan juga mewakili anda di mahakamh syariah.
Bolehkah saya mendapatkan konsultasi dalam talian?
Ya, kami menyediakan khidmat konsultasi dalam talian melalui temujanji terlebih dahulu.
Berapa lama biasanya sesuatu kes Syariah mengambil masa?
Tempoh masa bergantung kepada jenis kes dan faktor-faktor tertentu seperti kerjasama pihak-pihak terlibat. Ada kes yang boleh selesai dalam beberapa bulan, manakala kes yang lebih kompleks mungkin mengambil masa lebih lama.
Adakah saya perlu hadir ke mahkamah setiap kali prosiding dijalankan?
Kehadiran anda diperlukan pada tarikh tertentu sahaja. Peguam akan memaklumkan bila anda perlu hadir.
Bagaimana struktur bayaran guaman di firma ini?
Bayaran guaman bergantung kepada jenis kes. Kami akan menerangkan anggaran kos sebelum anda membuat keputusan untuk melantik kami.
Adakah firma ini menyediakan pelan ansuran untuk bayaran guaman?
Ya, bagi sesetengah kes kami menyediakan pelan bayaran ansuran untuk memudahkan klien.
Adakah terdapat caj untuk sesi konsultasi pertama?
Kami menawarkan pilihan – sama ada konsultasi percuma dalam tempoh tertentu atau konsultasi berbayar dengan kadar minima.
Adakah saya boleh berjumpa peguam tanpa janji temu?
Sebaiknya buat janji temu terlebih dahulu supaya masa perbincangan lebih teratur dan peguam dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada kes anda.
Bagaimana cara untuk membuat temujanji?
Anda boleh hubungi kami melalui telefon, WhatsApp, atau borang tempahan janji temu di laman web ini.
Adakah semua maklumat yang saya berikan adalah sulit?
Ya, semua maklumat klien adalah sulit dan dilindungi di bawah etika professional peguam.
Adakah saya perlu melantik peguam syarie untuk mengendalikan kes di Mahkamah Syariah?
Pelantikan peguam syarie sangat digalakkan kerana ia memudahkan urusan pengurusan dokumen dan perjalanan prosiding di Mahkamah. Walaupun sesetengah kes boleh diuruskan sendiri, khidmat peguam syarie memastikan hak anda lebih terjamin.
Bagaimanakah cara untuk membuat temujanji dengan pihak firma?
Temujanji boleh dibuat melalui panggilan telefon, emel atau WhatsApp. Klien boleh memilih untuk hadir ke pejabat kami atau menjalankan sesi konsultasi secara atas talian.
Saya risau bayaran guaman terlalu tinggi. Apa pilihan saya?
Kami mengamalkan polisi yang telus. Jumlah kos bayaran akan diberikan sewaktu awal pertemuan kali pertama.
Bolehkah saya dapatkan khidmat guaman di firma ini walaupun saya bukan bermastautin di Selangor?
Boleh, tiada masalah. Kami akan aturkan peguam yang beramal di negeri Tuan/Puan bermastautin untuk membantu dan menguruskan kes tersebut.
Jika saya tidak hadir ke mahkamah, apa yang akan berlaku terhadap kes saya?
Jika Tuan/Puan tidak hadir, Mahkamah menolak kes ataupun membuat keputusan tanpa kehadiran Tuan/Puan.
Saya terima saman dari Mahkamah Syariah, apa perlu saya buat?
Tuan/Puan perlu hadir pada tarikh yang telah ditetapkan pada saman tersebut untuk membela diri atau menjawab tuntutan dan sekiranya tidak tahu tindakan seterusnya yang perlu dibuat sebaiknya berjumpa dengan Peguam Syarie.
Sekiranya suami saya tak nak bagi kerjasama untuk datang ke Mahkamah, apa yang saya boleh buat?
Jika penyampaian saman sempurna, kes boleh berjalan secara sebelah pihak berdasarkan Seksyen 121 1 (b) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Selangor 2003.
Bolehkah keputusan Mahkamah Syariah dirayu?
Ya. Keputusan Mahkamah Rendah Syariah boleh dirayu ke Mahkamah Tinggi Syariah, dan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah pula boleh dirayu ke Mahkamah Rayuan Syariah, bergantung kepada prosedur dan undang-undang negeri masing-masing.
Bolehkah seseorang tarik balik tuntutan di Mahkamah Syariah?
Ya, klien boleh menarik balik tuntutan dengan kebenaran mahkamah, terutamanya jika pihak-pihak berjaya mencapai persetujuan di luar mahkamah.
Saya nak failkan perceraian terhadap suami saya, apa langkah pertama yang saya perlu buat?
Pertama sekali, dapatkan khidmat nasihat guaman terlebih dahulu. Setelah itu baru kita akan lihat sama ada kes tersebut adalah kes cerai secara baik, fasakh, khulu’ atau taklik bergantung kepada situasi anak guam.
Suami saya dah lafaz cerai pada saya semalam, apa saya perlu buat?
Sekiranya lafaz talaq dibuat di luar mahkamah, Puan perlu buat pengesahan lafaz cerai tersebut di Mahkamah yang berdekatan dengan tempat puan mastautin untuk Mahkamah tentukan sama ada lafaz cerai tersebut jatuh atau pun tidak.
Apa berlaku jika suami/isteri hilang atau tidak dapat dikesan?
Pasangan boleh memohon fasakh di Mahkamah Syariah. Biasanya, jika pasangan tidak dapat dikesan lebih daripada satu tahun, mahkamah boleh mempertimbangkan permohonan tersebut.
Suami saya telah melafazkan talak di dalam whatsapp, apa perlu saya buat?
Tindakan pertama puan, puan perlu memfailkan perintah daftar cerai atau pengesahan lafaz cerai di mahkamah yang berbidangkuasa. mahkamah akan sabitkan lafaz tersebut sama ada jatuh talak ataupun tidak.
Adakah pasangan boleh ruju` semula selepas bercerai?
Boleh, sekiranya penceraian itu adalah talak satu atau talak dua, pasangan boleh ruju` semula dalam tempoh iddah dengan syarat- syarat tertentu. Jika iddah telah tamat, pasangan perlu bernikah semula.
Apakah itu iddah dan berapa lama tempohnya?
Iddah ialah tempoh menunggu bagi seorang wanita selepas penceraian atau kematian suami. Tempoh iddah bergantung kepada keadaan, contohnya tiga kali suci bagi wanita yang diceraikan, atau empt buan sepuluh hari bagi kematian suami.
Apakah yang dimaksudkan dengan nusyuz?
Nusyuz ertinya isteri enggan mentaati perintah atau permintaan suami yang sah di sisi syarak iaitu antara lain:
i) apabila dia menjauhkan dirinya dari suaminya;
ii) apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya; atau
iii) apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain, tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak.
Apakah kesan nusyuz?
Isteri yang disabitkan nusyuz tidak berhak mendapat nafkah sehingga beliau kembali taat kepada suaminya.
Bolehkah suami menuntut nusyuz terhadap isteri?
Ya. Suami boleh memfailkan tuntutan nusyuz di mahkamah syariah jika mempunyai bukti yang kukuh bahawa isteri ingkar atau melanggar kewajipan sebagai isteri.
Apakah kesan isteri yang disabitkan nusyuz?
Jika mahkamah mengesahkan isteri nusyuz, beliau boleh hilang hak nafkah daripada suami sepanjang tempoh nusyuz tersebut.
Jika isteri dituduh nusyuz, bolehkah dia membela diri?
Boleh. Isteri berhak mengemukakan alasan dan bukti di Mahkamah Syariah. Mahkamah akan menilai kedua-dua pihak sebelum membuat keputusan.
Apakah bentuk nafkah anak yang boleh dituntut?
Keperluan harian seperi makan minum, pakaian, perbelanjaan persekolahan pendidikan asas, perubatan dan tempat tinggal.
Apakah itu mutaah?
Mutaah merupakan bayaran saguhati yang diberikan oleh bekas suami kepada bekas isterinya selepas mereka bercerai. Hukum Syarak dan Undang-Undang Keluarga Islam memperuntukkan bahawa seseorang wanita yang diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan mutaah.
Bagaimana saya nak hibahkah rumah saya kepada anak saya?
Harta tuan/puan boleh sahaja dihibahkan rumah tuan/puan kepada penerima hibah (anak tuan/puan) melalui surat ikatan hibah.
Berapa lama biasanya sesuatu kes jenayah syariah selesai?
Tempoh bergantung kepada jenis dan tahap kerumitan sesuatu kes. Ada kes yang hanya mengambil masa beberapa bulan sahaja dan ada juga kes yang mengambil masa yang lebih lama terutama kes yang lebih kompleks.
Saya telah bernikah diluar negara, bagaimana dengan pernikahan saya?
Pernikahan tuan/puan perlu didaftarkan dengan cara memfailkan kes pengesahan nikah bujang di mahkamah. ini kerana, pernikahan tuan/puan tidak mengikut tatacara perkahwinan mengikut undang-undang. hakim akan mendengar dan membicarakan kes tuan/puan dan akan sabitkan sama ada pernikahan tersebut sah mengikut hukum syarak ataupun tidak.
Bolehkah pasangan islam bernikah di luar negara tanpa kebenaran?
Boleh bernikah, tetapi perkahwinan itu mesti didaftarkan semula di Malaysia. Jika tidak, pasangan boleh dikenakan denda atau hukuman mengikut undang-undang syariah negeri.
Apakah itu wali hakim dan bila ia diperlukan?
Wali hakim ialah wali yang dilantik oleh mahkamah untuk menikahkan pengantin perempuan apabila wali nasab tidak layak, engan atau tiada. Permohonan perlu dibuat di mahkamah syariah.
Apa yang perlu dilakukan jika wali enggan menikahkan?
Sekiranya wali enggan tanpa alasan yang munasabah, pengantin perempuan boleh memohon kebenaran wali hakim di mahkamah syariah. Mahkamah akan menilai keadaan dan jika wajar, melantik wali hakim untuk menikahkan.
Apakah dokumen yang saya perlu sediakan bagi kes harta sepencarian saya?
Bagi kes harta sepencarian dokumen yang utama perlu disediakan adalah dokumen bukti milikan harta seperti geran dan/atau perjanjian jual beli. sekiranya tuan/puan ada menyumbang terhadap harta-harta yang dituntut tuan/puan perlu sediakan bukti pembayaran seperti penyata bank dan/atau resit bayaran.
Bolehkah seorang ibu mendapat hak penjagaan anak selepas bercerai?
Ya. Secara asasnya ibu lebih berhak menjaga anak kecil (hadhanah), tetapi mahkamah akan menilai berdasarkan kepentingan dan kebajikan anak.
Apakah seorang ayah boleh mendapat hak penjagaan anak selepas penceraian?
Ya, Seorang ayah juga berhak memohon hak penjagaan anak. Walaupun secara asasnya ibu lebih diutamakan untuk menjaga anak kecil, Mahkamah Syariah akan menilai kepentingan serta kebajikan anak. Jika didapati bahawa ayah lebih layak dan mampu menyediakan penjagaan yang terbaik, mahkamah boleh memberikan hak jagaan kepada ayah.
Pada umur berapa anak boleh pilih nak tinggal dengan siapa?
Mahkamah biasanya mengambil kira pandangan anak yang berumur 7 tahun ke atas, tetapi keputusan akhir tetap bergantung kepada penilaian mahkamah berdasarkan kebajikan dan kepentingan terbaik untuk anak.