Pada kebiasannya sesuatu kes yang ingin didaftarkan di Mahkamah Syariah memerlukan penyediaan dokumen-dokumen yang berkaitan dengan kes tersebut agar memudahkan perjalanan kes. Sebelum itu sesuatu kes tersebut perlu ditentukan dan terdapat dua jenis pendaftaran kes MAL yang boleh dibuat di Mahkamah Syariah iaitu:
- Tuntutan
- Permohonan
Tuntutan ialah tiap-tiap tindakan atau prosiding kes mal yang dimulakan dengan Saman beserta penyata tuntutan. Manakala permohonan ialah tiap-tiap tindakan atau prosiding kes mal yang dimulakan dengan notis permohonan beserta afidavit sokongan.
Oleh itu, dokumen-dokumen yang Mahkamah perlukan untuk memfailkan kes adalah seperti berikut:-
| BIL | DOKUMEN YANG DIPERLUKAN |
| 1. | Saman dan Pernyataan Tuntutan / Notis Permohonan dan Afidavit Sokongan |
| 2. | Salinan Kad Pengenalan / Passport (Plaintif / Defendan) |
| 3. | Salinan Surat Perakuan Nikah |
| 4. | Salinan Surat Perakuan Cerai (jika ada) |
| 5. | Salinan Sijil Kelahiran Anak |
| 6. | Borang Maklumat Diri |
Dokumen yang dinyatakan di atas adalah dokumen asas yang pada kebiasaanya diperlukan untuk memfailkan kesemua jenis kes Mal. Namun dokumen lain yang berkaitan diperlukan bergantung kepada jenis kes yang difailkan contoh seperti kes Harta Sepencarian, anda dikehendaki menyediakan salinan dokumen harta yang ingin dituntut dan salinan slip gaji.
Justeru itu, setiap kes yang ingin difailkan perlu disediakan dokumen-dokumen yang berkaitan sebelum pendaftaran. Selain itu, setiap borang permohonan hendaklah diisi dengan kemas, jelas dan mudah untuk dibaca. Setiap salinan dokumen hendaklah disediakan dengan kertas bersaiz A4 dan setiap permohonan hendaklah didaftarkan oleh Plaintif atau Peguam Syarienya yang telah dilantik sahaja.
Seterusnya, setiap dokumen hendaklah disediakan dalam 3 salinan termasuk dokumen yang diperlukan seperti di butiran di atas. Salinan Saman/Dokumen PERLU ditambah mengikut bilangan, sekiranya pihakpihak melebihi daripada seorang (jika berkaitan sahaja) . Namun, pendaftaran tidak akan diterima (ditolak) JIKA GAGAL mengemukakan dokumen-dokumen tersebut dengan lengkap.