Nikah sempadan bermaksud sebarang urusan pernikahan yang dijalankan di luar negara dengan menggunakan khidmat jurunikah di negara tersebut. Kebanyakan rakyat Malaysia melangsungkan pernikahan di Thailand atas beberapa faktor tertentu. Antara faktor tersebut adalah wali tidak memberi izin, poligami dan sebagainya.
Perlu difahami bahawa pernikahan sempadan perlu didaftarkan di Malaysia apabila pasangan tersebut pulang ke Malaysia. Hal ini kerana tidak semua pernikahan di sempadan tersebut sah mengikut hukum syarak. Lebih-lebih lagi bagi pernikahan yang menggunakan khidmat sindiket. Oleh itu, semua pasangan yang bernikah di sempadan atau di luar negara mesti membuat pengesahan nikah dahulu di mahkamah syariah bagi menentukan nikah tersebut adalah sah mengikut hukum syarak
Setelah mahkamah mengesahkan nikah tersebut sah, maka satu perintah akan dikeluarkan oleh mahkamah dan pesangan perlu mendaftarkan nikah di pejabat agama bagi mendapatkan surat nikah Malaysia. Namun adalah menjadi satu kesalahan jika pasangan yang bernikah di sempadan dan tidak didaftarakan. Bagi pasangan yang bernikah di luar negara tanpa kebenaran akan dikenakan denda. Hukuman denda inilah yang menyebabkan ramai yang takut untuk mendaftarkan perkahwinan luar negara di Pejabat Agama. Hukuman denda ini berbeza mengikut enakmen/akta negeri masing-masing. Di Selangor misalnya, hukuman terbahagi kepada tiga (3) kategori:
1. Perkahwinan tanpa kebenaran mana–mana Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN)
Seksyen 40. Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor): Kesalahan yang berhubungan dengan akad nikah perkahwinan
(2) Seseorang yang berkahwin atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai akad nikah atau yang menjalani sesuatu cara akad nikah dengan sesiapa jua berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian II adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.
2. Poligami tanpa kebenaran Mahkamah Syariah
Seksyen 124. Poligami tanpa kebenaran Mahkamah
Jika seseorang lelaki berkahwin lagi di mana-mana jua pun dalam masa perkahwinannya yang sedia ada masih berterusan tanpa mendapat kebenaran secara bertulis terlebih dahulu daripada Mahkamah maka dia adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.
3. Perkahwinan yang berlaku di Luar Negara dan tidak didaftarkan selepas tempoh 6 bulan daripada tarikh perkahwinan
Seksyen 35. Tidak hadir di hadapan Pendaftar dalam masa yang ditetapkan
Jika seseorang yang dikehendaki oleh seksyen 31 hadir di hadapan seorang Pendaftar, tidak berbuat demikian dalam masa yang ditetapkan, maka dia adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.
KESAN NIKAH SEMPADAN PADA ISTERI DAN ANAK
Berdasarkan penerangan di atas kita dapat lihat bahawa nikah sempadan ini bukannya sesuatu yang boleh di ambil mudah oleh setiap pasangan yang ingin berkahwin. Hal ini kerana nikah di sempadan atau di luar negara mempunyai banyak masalah dan kesan terhadap pasangan tersebut. Sekiranya pernikahan tersebut tidak sah, maka perkahwinan tersebut mesti difaraqkan. Setelah itu, pasangan tersebut perlu melakukan akad nikah baharu sekiranya masih mahu bersama sebagai suami isteri yang sah. Kebiasaannya sesebuah pernikahan tersebut tidak sah kerana tidak menggunakan wali hakim yang dilantik oleh pemerintah. Kes seperti ini selalu berlaku kepada pernikahan yang menggunakan khidmat sindiket di mana mereka menggunakan wali yang tidak bertauliah. Manakala bagi pernikahan yang tidak didaftarkan akan memberi kesan yang buruk kepada si isteri dan anak antaranya adalah seperti berikut:
i. Tiada sebarang rekod pernikahan di mana-mana pejabat agama Islam di malaysia.
ii. Si isteri digantung tidak bertali tetapi tidak boleh menuntut haknya di Mahkamah Syariah.
iii. Menyukarkan proses sebarang tuntutan di mahkamah bersabit dengan urusan pernikahan, penceraian atau tuntutan harta kerana tidak mempunyai sijil nikah Malaysia.
iv. Menyukarkan membuat sijil kelahiran anak di Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia kerana tidak mempunyai sijil nikah Malaysia.
v. Menyukarkan proses pendaftaran persekolahan anak kerana setiap pendaftaran tahun 1 perlu kepada sijil nikah ibu bapa.
vi. Anak-anak tidak mempunyai Sijil Lahir seperti dilaporkan di media saban hari, akibatnya anak-anak tersebut terjebak dengan masalah sosial kerana lantaran tidak boleh bersekolah di sekolah aliran perdana.
KESIMPULAN
Nikah sempadan memberi kesan yang buruk jika tidak didaftarkan perkahwinan tersebut. Kesannya, pembelaan terhadap hak isteri dan anak-anak tidak dapat dibantu andai perkahwinan tersebut tidak didaftarkan apatah lagi jika terbukti perkahwinan luar negara tersebut terbukti tidak sah mengikut hukum syarak iaitu nikah sendiket. Oleh itu, pernikahan di sempadan atau di luar negara tidak boleh di ambil mudah oleh setiap pasangan yang ingin berkahwin.