Artikel Kami

Terokai Artikel Terkini dan Panduan Berguna Mengenai Perundangan Syariah untuk Memperluas Pengetahuan dan Memahami Hak Anda.

Isu anak tak sah taraf di Malaysia sudah menjadi masalah sosial yang lumrah dan tidak asing lagi kepada masyarakat hari ini. Kisah-kisah tentang pembuangan bayi sering mendapat liputan utama di dada akhbar, manakala kes-kes wanita hamil tanpa nikah yang berada di pusat pemulihan semakin bertambah dari masa ke semasa. Pelbagai usaha dilaksanakan bagi membendung masalah ini. Namun yang menjadi permasalahan sekarang ini adalah jika anak tersebut telah pun selamat dilahirkan dengan berstatus anak tak sah taraf dan menjadi persoalan siapakah yang berhak mendapat hak penjagaan terhadap anak tersebut serta siapa yang bertanggungjawab memberikan nafkah kepada anak tersebut?

DEFINISI ANAK TAK SAH TARAF

Anak tak sah taraf dalam istilah bahasa Arab disebut walad al-zina yang bermaksud anak zina atau anak luar nikah. Para Fuqaha’ bersepakat bahawa anak zina ialah merujuk kepada anak yang dilahirkan hasil perzinaan dan bukan daripada perkahwinan yang sah atau persetubuhan syubhah iaitu persetubuhan oleh suami isteri hasil dari pernikahan.

Manakala menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 istilah anak tak sah taraf adalah satu istilah yang digunakan bagi anak yang tidak mempunyai nasab atau hubungan darah yang sah. Di dalam peruntukan undang-undang telah menyatakan: “Tak sah taraf berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan dari persetubuhan syubhah.”

Islam memelihara kesucian nasab keturunan seseorang dan agama Islam itu sendiri memberi perlindungan kepada semua insan yang lahir di muka bumi ini. Namun, bagi anak zina sesetengah haknya agak berbeza sedikit dengan anak sah taraf kerana statusnya yang disabitkan kepada ibu yang melahirkannya dan bukan kepada ayahnya. Kesucian anak zina ini sering dipertikaikan disebabkan dengan gelarannya sebagai anak tak sah taraf, sedangkan anak zina ini tidak berdosa dan hanya menjadi mangsa keadaan. Bukan itu sahaja, anak zina ini juga sering dipandang negatif oleh masyarakat. Bahkan, anak zina ini kadang kala ditemui terdampar, dibuang atau diserahkan kepada orang awam untuk dipelihara. Anak tak sah taraf hendaklah diberi perlindungan serta nafkah yang sama seperti anak-anak yang lain mengikut hukum syarak dan undang-undang. Penjagaan anak ini akan memberikan implikasi kepada masyarakat dan negara dalam hal yang berkaitan seperti hadanah, nafkah dan haknya. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa alternatif yang telah diambil oleh sesetengah institusi bagi melindungi kepentingan dan kebajikan anak zina serta meringankan beban pihak-pihak yang terlibat.

HAK PENJAGAAN BAGI ANAK TAK SAH TARAF

Berhubung dengan penjagaan anak tak sah taraf, ia adalah dipertanggungjawabkan semata-mata kepada ibu dan saudara-mara sebelah ibunya. Hubungan nasab (keturunan) anak tak sah taraf dengan ibu serta ahli keluarganya tidak terputus. Oleh itu tanggungjawab menjaga anak tak sah taraf menjadi tanggungjawab ibu dan ahli keluarga di sebelah ibunya.Hal ini ada diperuntukkan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2003 dibawah seksyen 86 yang menyatakan bahawa : 

“Penjagaan kanak-kanak tak sah taraf adalah semata-mata pada ibu dan saudara mara ibu”. 

Peruntukan ini selaras dengan kehendak hukum Syarak yang menetapkan hubungan nasabnya (keturunan) hanya dengan ibunya sahaja. Kedudukan ini sudah tentu memberikan hak penjagaan kepada ibunya atau ahli keluarga ibunya. Peruntukan ini juga menjelaskan yang anak tak sah taraf sama ada lelaki atau perempuan mempunyai hak untuk mendapat jagaan yang sempurna.

Undang-undang Islam juga ada memperuntukkan peraturan bagaimana seseorang bayi yang dibuang dan tidak diketahui ibu bapanya harus ditangani dengan mewajibkan secara fardu ain, jika tiada orang lain yang berada di tempat kejadian dan ditakuti jika bayi itu tidak diambil nyawanya akan terancam, maka orang yang menemuinya mestilah mengambil dan memeliharanya dengan sepatutnya.

NAFKAH ANAK TAK SAH TARAF

Segala nafkah dan saraan hidup anak tak sah taraf adalah menjadi tanggungjawab ke atas ibunya. Ini adalah kerana anak tak sah taraf itu dinasabkan kepada ibunya, tidak kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya. Peruntukan mengenai tanggungjawab nafkah ini juga terdapat dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2003 di bawah seksyen 81 (1) yang menyatakan bahawa : 

“Jika seseorang perempuan cuai atau enggan menanggung nafkah seseorang anaknya yang tak sah taraf yang tidak berupaya menanggung nafkah dirinya, melainkan seorang anak yang dilahirkan akibat rogol, mahkamah boleh, apabila hal itu dibuktikan dengan sewajarnya, memerintahkan perempuan itu memberi apa-apa elaun bulanan yang difikirkan munasabah oleh mahkamah”. 

Manakala menurut seksyen 81 (2) memperuntukkan bahawa jika seseorang mengabaikan atau enggan menanggung anak tak sah tarafnya yang tidak mampu menanggung dirinya sendiri, mahkamah boleh memerintahkan orang tersebut membuat bayaran bulanan yang mahkamah rasakan munasabah. 

Walau bagaimanapun, bagaimana cara untuk memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah kepada anak tidak sah tarafnya sedangkan dia tidak berkahwin dengan ibu anak tersebut? Kebiasaannya ialah melihat sijil kelahiran anak iaitu nama lelaki tersebut ditulis di dalam sijil tersebut. Selain itu, ujian DNA juga dilakukan untuk menentukan siapakah yang bertanggungjawab menyebabkan ibu anak mengandung hingga melahirkan anak tak sah taraf itu. 

KESIMPULAN

Oleh itu, pelaksana hak ke atas anak tak sah taraf mungkin berbeza seperti pada asalnya iaitu tanggungjawab melunaskan hak penjagaan, perlindungan dan nafkah adalah ke atas bapa, namun bagi anak tidak sah taraf, tanggungjawab itu terletak ke atas ibu.

Terokai Artikel Terkini Kami yang Penuh Bermakna

Kekal bermaklumat dan berinspirasi dengan pandangan baharu serta perkongsian guaman untuk memperkasa pengetahuan anda dan mencetuskan perubahan positif.

Artikel

Hadhanah & Nafkah Anak Tak Sah Taraf

Isu anak tak sah taraf di Malaysia sudah menjadi masalah sosial yang lumrah dan tidak asing

Artikel

Nikah Sempadan: Kesan pada Isteri dan Anak-Anak

Nikah sempadan bermaksud sebarang urusan pernikahan yang dijalankan di luar negara dengan menggunakan khidmat jurunikah di

Artikel

Dokumen Diperlukan untuk Memfailkan Kes di Mahkamah Syariah?

Pada kebiasannya sesuatu kes yang ingin didaftarkan di Mahkamah Syariah memerlukan penyediaan dokumen-dokumen yang berkaitan dengan

Scroll to Top