Wednesday, 1 April 2020, 06:12 AM | No Comments »

 

Terdapat pasangan yang bercerai tidak tahu mereka tidak boleh menuntut harta-harta yang dimiliki bersama ketika dalam tempoh perkahwinan. Sehingga ada isteri yang hidup dalam kesusahan selepas perceraian akibat tidak mempunyai pekerjaan dan menjadi suri rumah sepanjang perkahwinan. Setelah tempoh iddah tamat, para isteri mula gusar untuk memulakan kehidupan yang baru sebagai ibu tunggal.

Jika mereka tahu tentang harta yang boleh dituntut pun, mereka tidak pasti apakah pertimbangan yang dilihat oleh mahkamah dalam menentukan hak setiap pihak terhadap harta tersebut. Adakah kesemua harta boleh dituntut atau hanya harta tertentu sahaja yang boleh dituntut?

Dalam sistem kekeluargaan islam ada mengiktiraf hak suami dan isteri terhadap harta atau aset yang diperoleh sepanjang perkahwinan. Inilah yang dinamankan harta sepencarian. Harta sepencarian membawa maksud harta yang diperolehi antara suami dan isteri yang sah mengikut hukum syarak hasil daripada sumber-sumber atau usaha bersama sepanjang perkahwinan. Harta sepencarian bukanlah terbit dari mana-mana hukum syarak. Ia terhasil dari adat yang sekian lama diamalkan dalam masyarakat melayu iaitu adat temenggung dan juga adat perpatih. Namun syarak mengiktiraf adat ini berdasarkan kaedah fiqh al-‘adah muakkamah yang bermaksud suatu perkara baik yang menjadi adat dijadikan suatu peraturan yang mesti diikuti.  Bahkan sistem perundangan islan di malaysia juga ada memperuntukan undang-undang berkaitan harta sepencarian.

Di Malaysia Harta Sepencarian boleh dituntut dalam tiga keadaan iaitu selepas bercerai, selepas kematian salah seorang suami atau isteri dan juga ketika suami memilih untuk berpoligami walaupun suami tidak menceraikan isteri pertama.

Dalam sekyen 122(2)(3) dan (4) enakmen undang-undang keluarga islam (negeri selangor) 2003 ada menetapkan timbangtara yang perlu hakim lihat dalam menentukan iaitu usaha tunggal pihak-pihak, usaha bersama dan juga melihat kepada usaha tidak langsung satu pihak yang tidak memiliki harta tersebut kepada kebajikan keluarga. Di sebalik sumbangan pihak-pihak ini mahkamah tetap mengutamakan kebajikan anak-anak yang belum dewasa dalam perkahwinan tersebut.

Namun dalam menuntut harta-harta yang diperoleh dalam perkahwinan, pihak-pihak haruslah memberi perhatian terhadap harta-harta yang dituntut. Ada diantara harta yang diperolehi tertakluk kepada akta-akta yang mengikat harta tersebut dengan pemiliknya. Antaranya duit dari kumpulan wang simpanan pekerja (kwsp), insurans serta unit-unit amanah pelaburan. Semua aset-aset tersebut tertakluk dengan akta-aktanya yang tersendiri seperti duit kwsp tidak boleh dikeluarkan melainkan setelah pemilik atau pencarumnya berusia 55 tahun. Faedah kepada insurans hanya diperoleh apabila berlaku kemalangan yang tidak diingini ke atas pemilik insurans, dan sebagainya.

Dalam menentukan hak pihak-pihak terhadap harta yang dimiliki ada perkara yang lebih penting untuk difikirkan oleh pihak suami dan isteri iaitu kebajikan anak-anak dalam mendapatkan tempat perlindungan setelah kedua ibu dan bapanya berpisah. Kebiasaanya pihak suami dan isteri akan teruja mempertahankan hak masing-masing terhadap harta terutamanya rumah kelamin. Pihak isteri atau suami boleh sahaja memohon agar mahkamah memerintahkan rumah tersebut ditahan dari dijual atau dilelong demi kebajikan anak-anak dan dijadikan tempat tinggal bagi anak-anak tersebut. Pihak-pihak boleh membuat satu rundingan persetujuan bagaimana pihak yang mendapat hak jagaan kekal anak-anak dapat melunaskan hak satu pihak lagi. Selain itu, pihak bekas isteri juga boleh menghalang tuntutan bekas suami yang mendakwa bekas suami yang membayar ansuran bulanan setiap tahun adalah ganti kepada nafkah tempat tinggal kepada isteri.

Bagi mengukuhkan semua tuntutan  terhadap harta sepencarian ini, pembuktian secara jelas dan detail adalah diperlukan oleh pihak mahkamah bagi mahkamah membuat pertimbangan yang wajar bagi setiap tuntutan. Bukti perjanjian jualbeli, resit-resit bayaran serta bukti usaha bersama atau bersendirian hendaklah dibuktikan semasa perbicaraan. Pernyataan usaha tidak langsung juga perlu dibuktikan bersama.

Setelah meneliti dakwaan dan pembuktian pihak-pihak, mahkamah akan membuat penilaian dan menetapkan secara nisbah kadar hak pemilikan bagi setiap pihak. Sekiranya harta tersebut hanya satu pihak sahaja yang mengusahakan, pihak yang mengusahakan itu akan memperoleh bahagian yang lebih besar. Sekiranya harta tersebut diperoleh atas usaha bersama maka jharta tersebut hendaklah dibahagi sama banyak dengan nisbah 50:50. Pada kebiasaannya, mahkamah akan memerintahkan harta tersebut dijual dan baharulah dibahagi mengikut nisbah yang ditetapkan oleh mahkamah. Adapun harta (rumah) yang ditahan sebagai tempat tinggal anak-anak yang masih belum dewasa, pihak yang memperoleh hak jagaan anak dicadangkan agar membayar bahagian pihak satu lagi sebagai ganti pihak tersebut memperoleh rumah tersebut sepenuhnya.

 

Oleh: 

Siti Nuruljannah Binti Mohd Rumainor

Peguam Syarie,

Yazid Saat & Associates


Ingin dapatkan
Khidmat Nasihat & Peguam Syarie?
 
Boleh hubungi kami dengan melengkapkan borang di bawah
atau terus telefon dan WhatsApp kami.

Lengkapkan maklumat di bawah & kami akan hubungi anda.

HUBUNGI KAMI
Dapatkan khidmat nasihat & solusi penyelesaian terbaik untuk kes anda.
+60184000455
| UTAMA | MENGENAI KAMI | PERKHIDMATAN | ARTIKEL | HUBUNGI KAMI |

Disclaimer: Apa yang kami nyatakan di web ini adalah benar dan tepat mengikut Undang-Undang, Hukum Syarak, fakta semasa dan dari ulasan Pengamal Undang-Undang sebenar. Pelanggan dinasihatkan menggunakan perkhidmatan ini seperti arahan dan nasihat kami. Namun kami tidak bertanggungjawab jika sebarang masalah berlaku kepada pelanggan di atas penggunaan perkhidmatan ini yang berpunca daripada pelanggan sendiri.

  Peguam Syarie Yazid Saat & Associates, All Rights Reserved.

Hit counter: 3927
This website may use Cookies
This website may use Cookies in order to work better. At anytime you can disable or manage it in your browser's settings. Using our website, means you agree with Cookies usage.

OK, I understand or More Info
Cookies Information
This website may use Cookies in order to work better. At anytime you can disable or manage it in your browser's settings. Using our website, means you agree with Cookies usage.
OK, I understand