Wednesday, 1 April 2020, 06:06 AM | No Comments »

HAK JAGAAN ANAK : SIAPA YANG LEBIH BERHAK?

   

PENDAHULUAN

Bagi pasangan yang telah berkahwin dan mempunyai anak pastinya tidak mahukan pengakhiran yang diakhiri dengan sebuah perceraian. Namun jika ianya terjadi pastinya anak yang menjadi mangsa akibat dari perceraian tersebut. Jika anak tersebut masih kecil akan ada persoalan di pemikiran ibu ayah iaitu “Siapakah yang lebih berhak ke atas anak tersebut?”

Hak jagaan anak yang masih kecil dinamakan sebagai hadhanah di dalam Islam. berpandukan hadis Nabi SAW melalui Abdullah bin `Amr R.Anhuma ketika mana datang seorang wanita kepada Rasulullah SAW lalu berkata:

Maksudnya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya anakku ini, perutku adalah tempatnya, putting susuku adalah tempat minumnya dan pangkuanku adalah rumahnya sedangkan ayahnya telah menceraikanku dan ingin merampasnya dariku. Lalu Rasulullah SAW berkata kepadanya: “Engkau lebih berhak terhadapnya selama engkau belum bernikah”.

Riwayat Abu Daud (2276)

Berdasarkan dalil di atas menunujukkan bahawa pensyariatan hadhanah ini bagi menjaga kebajikan si anak yang masih kecil setelah berlaku penceraian di antara sepasang suami isteri.

 

APAKAH PENGERTIAN HADANAH?

Hadanah bermaksud penjagaan kanak-kanak yang masih kecil dan belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri, sama ada lelaki atau perempuan, sama ada dalam tempoh perkahwinan atau selepas perceraian.

 

APAKAH KELAYAKAN BAGI SESEORANG UNTUK MENDAPATKAN HAK JAGAAN ANAK?

Kelayakan seseorang untuk mendapatkan hak jagaan anak menurut seksyen 83 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 (EUKI) menyatakan seperti berikut:

(a) Merupakan seorang Islam;

(b) Sempurna akal;

(c) Cukup umur yang melayakkan dia memberi kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu;

(d) Berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan

(e) Tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.

 

SIAPAKAH YANG PALING BERHAK MENDAPAT HAK JAGAAN ANAK?

Islam telah menetapkan bahawa yang paling layak mendapat hak jagaan anak sama ada dalam tempoh perkahwinan atau setelah terbubarnya sebuah perkahwinan adalah ibu kepada anak-anak tersebut sehingga anak kecil itu mencapai umur mumaiyiz (kecerdikan) dan  selagi mana si ibu tersebut belum berkahwin dengan suaminya yang baru . Hal ini juga ada dinyatakan di dalam Seksyen 82(1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

 

PERKARA-PERKARA YANG MENYEBABKAN HILANGNYA HAK JAGAAN ANAK

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, hak jagaan anak selepas berlakunya perceraian akan diberikan kepada ibu, namun dalam beberapa keadaan tertentu, menurut Seksyen 84 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 menyatkan bahawa hak jagaan itu boleh hilang kerana sebab-sebab berikut:

jika perempuan itu berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu yang orang itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu, jika jagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu tetapi haknya untuk jagaan akan kembali semula jika perkahwinan itu dibubarkan;
jika perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka;
jika perempuan itu menukar pemastautinannya dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak itu daripada menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu, kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu;
jika perempuan itu murtad;
jika perempuan itu mengabaikan atau menganiaya kanak-kanak itu.
 

SEKIRANYA IBU HILANG KELAYAKKAN, SIAPAKAH YANG BERHAK MENDAPAT HAK JAGAAN ANAK TERSEBUT?

Jika ibu hilang kelayakkan berdasarkan alasan yang dinyatakan di dalam seksyen 83 dan 84 EUKI sebelum ini, maka hak itu hendaklah berpindah kepada salah seorang mengikut susunan keutamaan yang berikut, iaitu :-

(a) nenek sebelah ibu hingga ke atas;

(b) bapa;

(c) nenek sebelah bapa hingga ke atas;

(d) kakak atau adik perempuan seibu sebapa;

(e) kakak atau adik perempuan seibu;

(f) kakak atau adik perempuan sebapa;

(g) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapa;

(h) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu;

(i) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapa;

(j) emak saudara sebelah ibu;

(k) emak saudara sebelah bapa;

(l) waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai ‘asabah atau residuari:

Dengan syarat penjagaan orang demikian tidak menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu.

 

BERAPA LAMAKAH TEMPOH HADHANAH?

Menurut  seksyen 85 (1) EUKI menyatakan bahawa hak hadanah bagi menjaga seseorang kanak-kanak adalah tamat setelah kanak-kanak itu mencapai umur tujuh tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu perempuan, tetapi Mahkamah boleh, atas permohonan hadanah, membenarkan dia menjaga kanak-kanak itu sehingga kanak-kanak itu mencapai umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sebelas tahun, jika kanak-kanak itu perempuan.


Namun menurut seksyen 85 (2) EUKI, setelah tamat tempoh hadhanah tersebut penjagaan adalah turun kepada bapa, dan jika kanak-kanak itu telah mencapai umur kecerdikan (mumaiyiz), maka kanak-kanak itu adalah berhak memilih untuk tinggal dengan sama ada ibu atau bapanya, melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya.

 

SIAPAKAH YANG AKAN MENENTUKAN HADANAH DAN APAKAH PERTIMBANGAN YANG PERLU DIAMBIL KIRA?

Jika timbul perselisihan berkenaan hadanah, Mahkamah Syariah merupakan pihak yang mempunyai autoriti dalam memutuskan hadanah dan pertimbangan utama yang diambil kira oleh Mahkamah Syariah ialah kebajikan kanak-kanak itu. Namun, Mahkamah Syariah juga memberi perhatian kepada perkara yang berikut:

(a)      kebajikan kanak-kanak tersebut;

(b)      kemahuan ibu bapa kanak-kanak;

(c)       kemahuan kanak-kanak itu sekiranya dia dalam peringkat umur yang boleh menyatakan pendapatnya atau sudah mumaiyiz.

 

APAKAH SYARAT-SYARAT YANG DIKENAKAN OLEH MAHKAMAH SEMASA MEMBUAT PERINTAH HAK JAGAAN ANAK?

Semasa membuat perintah Hak jagaan anak / hadhanah, Mahkamah Syariah boleh mengenakan syarat-syarat yang hendaklah dipatuhi oleh pihak-pihak. Antara syarat tersebut ialah:-

(a)      tempat kanak-kanak itu akan tinggal dan pelajarannya;

(b)      mengadakan peruntukan bagi kanak-kanak itu berada buat sementara dalam pemeliharaan dan kawalan seseorang yang lain daripada orang yang diberi jagaan kanak-kanak itu;

(c)       mengadakan peruntukan bagi kanak-kanak itu untuk melawat ibu atau bapa yang tidak diberi jagaan atau seseorang daripada keluarga ibu yang telah mati atau bapa yang tidak diberi jagaan dalam masa yang difikirkan munasabah;

(d)      memberi ibu atau bapa yang tidak diberi hak jagaan atau seseorang daripada keluarga ibu atau bapa yang telah mati atau yang tidak diberi jagaan untuk berjumpa dan melawat kanak-kanak itu pada masa-masa dan seberapa kerap yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah;

(e)      melarang orang yang diberi jagaan itu daripada membawa kanak-kanak itu keluar dari Malaysia.

 

KESIMPULAN

Isu kepada penentuan hak jagaan anak memerlukan kepada keputusan mahkamah syariah. Namun apa telah dinyatakan sebelum ini, ibulah yang paling berhak mendapat hak jagaan anak jika si ibu tidak hilang kelayakan. Pejelasan bagi hak jagaan anak ini adalah bertujuan untuk menjaga kemaslahatan anak kecil tersebut sehingga tidak berlaku kezaliman ke atas mereka dan juga tidak terabai. Semoga dengan penjelasan ini dapat memberikan sedikit maklumat bagi mereka diluar sana dalam memahami isu hak jagaan anak yang masih kecil sekiranya berlaku perceraian.

 

 


Ingin dapatkan
Khidmat Nasihat & Peguam Syarie?
 
Boleh hubungi kami dengan melengkapkan borang di bawah
atau terus telefon dan WhatsApp kami.

Lengkapkan maklumat di bawah & kami akan hubungi anda.

HUBUNGI KAMI
Dapatkan khidmat nasihat & solusi penyelesaian terbaik untuk kes anda.
+60184000455
| UTAMA | MENGENAI KAMI | PERKHIDMATAN | ARTIKEL | HUBUNGI KAMI |

Disclaimer: Apa yang kami nyatakan di web ini adalah benar dan tepat mengikut Undang-Undang, Hukum Syarak, fakta semasa dan dari ulasan Pengamal Undang-Undang sebenar. Pelanggan dinasihatkan menggunakan perkhidmatan ini seperti arahan dan nasihat kami. Namun kami tidak bertanggungjawab jika sebarang masalah berlaku kepada pelanggan di atas penggunaan perkhidmatan ini yang berpunca daripada pelanggan sendiri.

  Peguam Syarie Yazid Saat & Associates, All Rights Reserved.

Hit counter: 11836
This website may use Cookies
This website may use Cookies in order to work better. At anytime you can disable or manage it in your browser's settings. Using our website, means you agree with Cookies usage.

OK, I understand or More Info
Cookies Information
This website may use Cookies in order to work better. At anytime you can disable or manage it in your browser's settings. Using our website, means you agree with Cookies usage.
OK, I understand